WALAUPUN terapi ozon sudah diperkenalkan di negara ini sejak empat tahun
lalu, ia masih asing kepada masyarakat negara ini berikutan kurangnya pendedahan
terhadap rawatan seumpama itu.
Pengamal surgeri dan perubatan umum di ibu
negara, Dr Hasbullah Ahdar, berkata terapi ozon ialah kaedah rawatan yang
selalunya digunakan untuk mendedahkan ozon ke dalam darah atau tubuh manusia dan
ia bermanfaat kepada sebahagian besar pesakit kronik dan akut.
Beliau
yang juga Perunding Perubatan Ozon berkata, ketika ini, kira-kira 7,000 doktor
di Jerman menggunakan terapi ozon dan melakukan enam juta rawatan pada setiap
tahun di klinik mereka untuk merawat penyakit kronik.
Katanya, belum
ramai warga tempatan berminat dan bersedia untuk menjalani terapi ozon biarpun
ia boleh membantu merawat sebahagian besar penyakit, termasuk diabetes, strok
atau angin ahmar, barah dan ketumbuhan, gout, paras kolesterol tinggi di dalam
darah, penyakit koronari jantung dan anti penuaan.
“Ozon ialah oksigen
trivalent (tiga atom) dalam bentuk aktif dan sangat bertenaga. Perkataan ozon
berasal dari Greek dan ia bermaksud berbau. Ia ditemui oleh seorang pakar kimia
dari Jerman pada 1840. Oksigen ialah O2 manakala ozon ialah O3. selepas tempoh
20 hingga 30 minit, ozon akan terlerai kepada oksigen dua atom, O2 dan juga
menghasilkan oksigen singlet atau atom, O.
“Ozon perubatan ialah campuran
ozon dan oksigen yang sangat tulen diperbuat daripada oksigen gred perubatan
yang diaktifkan secara elektrik menggunakan jana kuasa ozon untuk membentuk
ozon. Dengan perkembangan penyelidikan, asas saintifik ozon dijadikan terapi
yang berasaskan saintifik,” katanya ketika ditemui, di ibu negara, baru-baru
ini.
Dr Hasbullah berkata, ozon perubatan mempunyai ciri-ciri selektif
yang boleh digunakan di dalam beberapa bidang seperti rawatan penyakit salur
darah seperti jantung, strok, penyakit orang tua dan hepatitis.
Beliau
berkata, ozon juga mampu bertindak sebagai terapi tambahan atau komplementari
bagi beberapa jenis barah dengan memberi pesakit ozon pada dos rendah untuk
mengaktifkan sistem pertahanan badan.
Kelebihan ozon?
Menyahaktif virus, bakteria, kulat fungus dan protozoa.
Merangsang sistem pertahanan badan atau imun.
Membantu dan mempercepatkan proses penyembuhan luka atau gangren.
Memecahkan lemak iaitu kolesterol dan trigliserid, membersihkan arteri dan
vena dan memperbaiki peredaran darah.
Meleraikan gumpalan sel darah merah, memperbaiki pengangkutan oksigen dan
aliran darah.
Membantu menyahtoksin oleh hati.
Membersihkan darah dan limfa.
Menstabilkan penghasilan hormon dan enzim.
Mengurangkan radang atau inflamasi.
Mengurangkan kesakitan dan menenangkan saraf.
Menghentikan pendarahan.
Mencegah koma dan kejutan.
Memusnahkan radikal bebas.
Mencegah kerosakan akibat strok.
Mengurangkan ketidaktentuan rentak jantung.
Memperbaiki fungsi otak dan ingatan.
Menyingkirkan toksin.
Merangsang penghasilan semua enzim perlindungan sel.
Menghalang penyakit degeneratif atau kebakaan.
Menghalang dan merawat penyakit berjangkit.
Bagaimanapun, kata Dr
Hasbullah tidak semua orang sesuai menjalani terapi ozon. Lazimnya, sebelum
menjalani rawatan itu, pesakit akan menjalani pemeriksaan dan sejarah atau latar
belakang akan diambil kira.
Beliau berkata, mereka yang gemar mengambil
minuman alkohol tidak sesuai untuk menjalani terapi itu selain pesakit yang baru
mengalami serangan jantung, wanita hamil, pesakit hipertiroid dan pesakit yang
mengalami gangguan fungsi pembekuan darah.
Sebelum menjalani terapi ozon,
seseorang itu juga perlu memaklumkan kepada doktor mengenai ubat-ubatan yang
diambil atau sebarang rawatan.
“Terapi ozon akan dilakukan oleh pakar
perubatan dan ia perlu dibuat di klinik bagi menjamin keselamatan pesakit. Kos
terapi ozon boleh mencecah sehingga beribu-ribu ringgit kerana bergantung pada
jumlah sesi yang perlu dijalani pesakit.
“Bagaimanapun, terapi ini bukan
saja sesuai digunakan bagi mereka yang sudah berpenyakit tetapi ia juga amat
sesuai bagi individu yang sihat dan mementingkan kesihatan dan kecergasan dan
kos terapi adalah berpatutan,” katanya.
Selain terapi ozon, beliau
berkata, orang ramai juga boleh mendapat manfaat daripada ozon melalui alat atau
mesin ozon untuk kegunaan rumah yang mampu bertindak menyahtoksik bahan-bahan
makanan, seperti buah-buahan, sayur-sayuran, ayam, ikan dan
daging.
“Makanan yang diambil selalunya mengandungi bakteria, racun
serangga dan bahan kimia. Melalui mesin ozon, racun serangga, bakteria dan bahan
kimia yang disemburkan pada bahan itu dapat dihapuskan atau sekurang-kurangnya
mampu dikurangkan.
“Mungkin ada yang menganggap garam dapat menghapuskan
racun atau bahan kimia yang disembur pada sayur-sayuran atau buah-buahan tetapi
hakikatnya ia tidak dapat membantu melenyapkan bakteria, racun serangga dan
bahan kimia. Buah dan sayur akan menjadi rangup dan lebih segar selepas
dibersihkan dengan mesin ozon selama 20 minit,” katanya.
Sebagai contoh,
katanya, jika mesin ozon untuk kegunaan di rumah digunakan ke atas ayam dan
daging selama kira-kira 20 minit, ia dapat membantu mengeluarkan antibiotik dan
hormon pada bahan itu.
“Mesin ozon juga dapat mengekalkan kesegaran
makanan dan mengelakkan ia mudah menjadi basi selain dapat membantu mengeluarkan
kuman dari akuarium. Melalui mesin ozon, anda juga berpeluang untuk mensteril
peralatan dapur dan botol susu bayi.
“Air yang sudah diozon dapat
membantu mengatasi masalah kelemumur, jeragat, jerawat dan bintit hitam,”
katanya sambil menunjukkan cara mencuci buah-buahan melalui mesin
ozon.
Melalui mesin ozon untuk kegunaan rumah, anda cuma perlu memasukkan
bahan makanan ke dalam sebuah mangkuk, bekas atau periuk besar berisi air dan
membiarkan tiub dari mesin itu bekerja sendiri selama kira-kira 20 minit.
Seorang suri rumah, Hafidzah Hafidz, turut menunjukkan gumpalan kotoran
yang terhasil selepas mencuci ikan, ayam dan sayur-sayuran dengan menggunakan
mesin ozon untuk kegunaan rumah.
Selain gumpalan itu, ikan dan ayam yang
dicuci dengan menggunakan mesin ozon turut mengeluarkan bau yang hamis dan
hanyir.